Bentuk Belia Berkemahiran Dalam Pengurusan Jenazah
- Amin Kassim
- 4 Dis 2024
- 1 min membaca

BANDAR SERI BEGAWAN, SELASA, 23 JUN- Dalam menyempurnakan jenazah kadangkala berlaku penyerapan amalan yang tidak selari dengan syariat Islam,di mana ia melibatkan tambahan amalan yang tiada asas dan sumber yang sahih. Dalam hal ini, setiap individu perlu mempelajari tatacara pengurusan jenazah yang betul dan berlandaskan syariat Islam.
Seramai 22 peserta terdiri daripada para belia telah menyertai Khidmat Terakhirku: Kursus Latihan Kemahiran Penggapai anjuran Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razaq dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah Kampong Kiarong dan Insurans Islam TAIB Family Takaful selaku penaja utama.
Kursus ini diadakan selama 4 minggu di beberapa buah masjid di Daerah Brunei Muara iaitu Masjid Jame’ Asr Hassanil Bokiah Kampong Kiarong, Masjid Kampong Pulaie, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampong Jerudong dan Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampong Kulapis pada setiap hari ahad bermula daripada 23 Jun hingga 14 Julai 2024.
Majlis Pelancaran Kursus Latihan Kemahiran Penggapai disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang berlansung di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.
Majlis juga diselajurkan dengan sesi pertama pembelajaran secara teori yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Amynoor bin Haji Muhammad Ya’akub. Kursus ini juga dikendalikan oleh 10 orang tenaga pengajar yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan penggapai dibawah Kementerian Hal Ehwal ugama dengan kerjasama ahli jawatankuasa.
Kursus ini bertujuan untuk membantu pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam menangani masalah yang dihadapi pada masa kini iaitu kekurangan tenaga penggapai yang mahir dalam ilmu pengetahuan tentang pengurusan jenazah yang selari dengan Syariat Islam dan sekaligus membantu dan memberikan peluang pekerjaan kepada warga belia Brunei Darussalam yang beragama Islam.