Aktiviti Amal Kebajikan Terus Menyemarakkan Bulan Ramadhan
- Amin Kassim
- 4 Dis 2024
- 1 min membaca

BANDAR SERI BEGAWAN, AHAD, 31 MAC- Dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan, Baiti Baitul Quran dengan kerjasama Al-Huffaz Management telah mengadakan Majlis Sedekah Anak Yatim diikuti dengan Bengkel Pengurusan Jenazah anjuran Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-razaq.
Majlis berlangsung di Momera, The Walk Beribi Central itu telah meraikan seramai 30 orang anak yatim dengan kerjasama daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat JAPEM, majlis ini diharap dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim sekaligus membantu meringankan beban keluarga mereka.
Sumbangan disampaikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan selaku pengerusi Majlis dan Pengurus Am Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razaq, Dayangku Fatin Nur’Masayuni Safwana binti Pengiran Roslan.
Dalam pada itu, Bengkel Pengurusan Jenazah dikendalikan oleh dua orang penggapai iaitu Awang Asmady bin Haji Ahmad dan Awangku Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanudin dengan kerjasama ahli jawatankuasa dan para sukarelawan terdiri daripada mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan tentang tatacara pengurusan dan penyempurnaan jenazah secara teori dan praktikal.